Saturday, January 14, 2006

Apa Itu Pendidikan Seks?

Sememangnya seks adalah satu perkataan yang mendapat pengertian pelbagai di kalangan masyarakat terutama di sebelah timur, malah tidak kurang juga yang mula pasang telinga.Apa lagilah apabila bercakap mengenai pendidikan seks, ada yang seolah-olah membantah apabila ia hendak diperkenalkan di peringkat sekolah, kerana apa yang difikirkan oleh golongan ini, pendidikan seks bermakna mengajar pelajar sekolah cara macam mana nak buat benda tu!Inilah pemahaman yang salah sesetengah anggota masyarakat mengenai pendidikan seks, terutama golongan tua. Seks dilihat sesuatu yang harus ditutup pada hal ada di antara mereka apabila bersembang bersama kawan-kawan seangkatan, sekejap-sekejap akan tersembul cerita di sebalik kain. Boleh pulak ya!Apabila kanak-kanak dan remaja hendak didedahkan dengan pendidikan seks dikatakan belum sampai masanya.“Alah, bila dia kahwin nanti dia tahulah, tak payah nak ajar. Aku dulu pun tak ada orang mengajar pun, tujuh orang anak aku,” kata seorang pakcik, melahirkan rasa bangganya.
Namun pendidikan seks sebenarnya lebih daripada itu, ia adalah pengetahuan mengenai tubuh badan manusia yang mana berbeza antara lelaki dan perempuan.Apa yang kebanyakan anggota masyarakat tidak sedar adalah perbezaan dan melihat tubuh lelaki hanya perlu diketahui oleh lelaki dan sebaliknya sedangkan kedua-duanya perlu diketahui.Pendidikan seks juga bukan bermakna proses mendapat anak saja, malah ia juga bermakna mengajar seseorang itu menjadi suami dan isteri yang baik serta memahami keadaan biologi pasangannya, juga yang penting proses pendewasaannya.Yoi teringat kepada satu kisah bagaimana pakcik kepada seorang pengantin lelaki mengumpat seorang tok kadi kerana tok kadi berkenaan bertanyakan mengenai darah haid, nifas dan wiladah kepada anak saudaranya.“Itu orang perempuan punya, kenapa nak tanya Zek benda tu...” katanya merungut.
Kekeliruan ini jelas menunjukkan pendidikan seks itu merangkumi satu bidang yang lebih luas dan bukan semata-mata membabitkan hubungan intim dan cerita di bawah kelambu.Bayangkan jika ada pengantin lelaki tidak tahu darah-darah berkenaan, mahu juga haru biru kehidupan pasangan berkenaan.Disebabkan itu, pendidikan seks akan menjadi betul jika ditangani dengan cara betul dan sebaliknya dan ini mengingatkan Yoi kepada satu ayat pada sebuah pelekat kereta yang ditampal pemilik kenderaan berkenaan berbunyi: “Sex instructor, first lesson free.”
Jika kita mengabaikan pendidikan seks secara berhemah, mungkin pendidikan seks sebeginilah yang akan dicari golongan muda. Kita tak usah pergi jauh dalam soal ini dan lihatlah berapa ramai anak muda kita yang kehilangan mahkota lelaki dan wanita mereka semata-mata kerana mempraktikkan pendidikan seks di sebalik semak dan di air terjun.Adakah kita ingin terus melihat perkara ini dan sebagaimana kata pepatah mencegah lebih baik dari mengubati, pendidikan seks yang diberikan dengan cara yang betul mungkin dapat menjadi benteng kepada gejala yang kurang menyenangkan ini.

Petikan : Berita Harian. 15 Jan 2006

0 Comments:

Post a Comment

<< Home