Friday, September 29, 2006

Membela Anak Luar Nikah

KUALA LUMPUR 7 Feb. - Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga akan menubuhkan satu jawatankuasa untuk menyediakan memorandum bagi menangani isu anak tak sah taraf.

Menterinya, Datuk Shahrizat Abdul Jalil berkata, memorandum yang mengandungi pandangan dan cadangan daripada semua aspek akan dihantar ke kabinet dalam tempoh sebulan.

``Fokus dalam memorandum itu adalah lebih kepada aspek pentadbiran, iaitu bagaimana kerajaan boleh membantu anak-anak yang tidak berdosa mendapat pembelaan dari segi pentadbiran dan urusan rasmi,'' katanya.

Istilah anak tak sah taraf ialah istilah baru bagi anak luar nikah.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan sesi sumbang saran untuk menangani Isu Dan Masalah Anak Tak Sah Taraf di kementeriannya di sini hari ini.

Seramai 73 orang daripada pelbagai kementerian, agensi dan pertubuhan bukan kerajaan telah menyertai sesi itu untuk memberi pandangan dan cadangan mereka.

Antara mereka ialah Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Mustafa Abd. Rahman, Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Razif Mohd Sidek, Ketua Pengarah Jabatan kebajikan Masyarakat Datuk Syed A. Rahman Sayed Mohd.

Menurut Shahrizat, di samping mengumpul maklumat, sesi itu juga adalah untuk mengetahui pendirian perundangan, agama dan kebajikan dalam isu anak tak sah taraf untuk memberi mereka harga diri dan hak yang sepatutnya.

Dari segi undang-undang katanya, perkara yang dibangkitkan, adalah ketiadaan keseragaman pendaftaran kelahiran, tanggungjawab nafkah dan hak jagaan anak tak sah taraf, hak terhadap harta serta pengesahan taraf dan kedudukan mereka mengikut undang-undang Islam.

``Kita dapati dari segi agama dan undang-undang yang sedia ada, tanggungjawab dan beban anak tak sah taraf terletak di bahu ibu sahaja.'' katanya.

Sehubungan itu katanya, kementeriannya akan mencari jalan bagaimana hendak menentukan bapa turut mengambil tanggungjawab ke atas anak itu tanpa melanggar hukum syarak.

Bagaimanapun katanya sesi sumbang saran itu tidak membicarakan isu moral dan agama seperti hukum syarak memandangkan semua agama melarang ke arah perbuatan yang mendorong hingga melahirkan anak luar nikah.

Sebaliknya katanya, ia hanya membincangkan bagaimana kerajaan dapat membantu meringankan beban masalah anak luar nikah untuk mendapatkan hak mereka.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home