Friday, September 29, 2006

Membela Anak Luar Nikah

KUALA LUMPUR 7 Feb. - Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga akan menubuhkan satu jawatankuasa untuk menyediakan memorandum bagi menangani isu anak tak sah taraf.

Menterinya, Datuk Shahrizat Abdul Jalil berkata, memorandum yang mengandungi pandangan dan cadangan daripada semua aspek akan dihantar ke kabinet dalam tempoh sebulan.

``Fokus dalam memorandum itu adalah lebih kepada aspek pentadbiran, iaitu bagaimana kerajaan boleh membantu anak-anak yang tidak berdosa mendapat pembelaan dari segi pentadbiran dan urusan rasmi,'' katanya.

Istilah anak tak sah taraf ialah istilah baru bagi anak luar nikah.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan sesi sumbang saran untuk menangani Isu Dan Masalah Anak Tak Sah Taraf di kementeriannya di sini hari ini.

Seramai 73 orang daripada pelbagai kementerian, agensi dan pertubuhan bukan kerajaan telah menyertai sesi itu untuk memberi pandangan dan cadangan mereka.

Antara mereka ialah Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Mustafa Abd. Rahman, Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Razif Mohd Sidek, Ketua Pengarah Jabatan kebajikan Masyarakat Datuk Syed A. Rahman Sayed Mohd.

Menurut Shahrizat, di samping mengumpul maklumat, sesi itu juga adalah untuk mengetahui pendirian perundangan, agama dan kebajikan dalam isu anak tak sah taraf untuk memberi mereka harga diri dan hak yang sepatutnya.

Dari segi undang-undang katanya, perkara yang dibangkitkan, adalah ketiadaan keseragaman pendaftaran kelahiran, tanggungjawab nafkah dan hak jagaan anak tak sah taraf, hak terhadap harta serta pengesahan taraf dan kedudukan mereka mengikut undang-undang Islam.

``Kita dapati dari segi agama dan undang-undang yang sedia ada, tanggungjawab dan beban anak tak sah taraf terletak di bahu ibu sahaja.'' katanya.

Sehubungan itu katanya, kementeriannya akan mencari jalan bagaimana hendak menentukan bapa turut mengambil tanggungjawab ke atas anak itu tanpa melanggar hukum syarak.

Bagaimanapun katanya sesi sumbang saran itu tidak membicarakan isu moral dan agama seperti hukum syarak memandangkan semua agama melarang ke arah perbuatan yang mendorong hingga melahirkan anak luar nikah.

Sebaliknya katanya, ia hanya membincangkan bagaimana kerajaan dapat membantu meringankan beban masalah anak luar nikah untuk mendapatkan hak mereka.

Istilah Anak Luar Nikah

Satu lagi istilah baru. Istilah anak tak sah taraf bagi menggantikan anak luar nikah atau anak haram.

Sebelum ini ada istilah-istilah baru turut muncul. Ibu tunggal bagi menggantikan janda. Pendatang tanpa izin bagi menggantikan pendatang haram. Orang kurang upaya bagi menggantikan orang cacat.

Bagi saya istilah ibu tunggal kurang tepat. Sememangnya janda mempunyai imej dan stigma yang buruk kerana sikap masyarakat Melayu yang mudah prasangka. Janda dianggap manusia yang gagal dalam hidup. Seolah-olah menjadi janda merupakan satu kesalahan. Sedangkan janda mempunyai dua kategori. Satu janda kerana suami meninggal, dan satu lagi akibat perceraian.

Yang menjadi masalah ialah janda akibat perceraian. Mereka dianggap sebagai pihak yang bersalah. Seolah-olah tidak pandai menjaga suami sedangkan dalam banyak kes, yang salah ialah pihak suami, bukannya isteri. Lagipun dalam perceraian, terdapat tiga kategori, sama ada diceraikan suami atau isteri yang menuntut cerai. Ataupun dua-dua bersetuju untuk bercerai.

Lagipun soal perceraian adalah lumrah dalam kehidupan manusia dan tidak perlu dijadikan suatu stigma.

Malah mereka tidak patut dijadikan mangsa prasangka. Terimalah kejadian seumpama itu sebagai pengalaman biasa manusia.

Lebih buruk lagi jika ada pandangan bahawa janda mempunyai suatu imej serong berhubung lelaki. Sedangkan imej seumpama ini tidak pula ada pada duda. Hakikatnya manusia sering kesunyian dan memerlukan pasangan. Perkara ini biasa dan tidak perlu dipandang serong.

Tetapi kini janda yang mempunyai anak disebut ibu tunggal. Istilah ibu tunggal merupakan hasil terjemahan istilah Inggeris, single parent. Tetapi single parent bermaksud ibu bapa tunggal. Maknanya, seorang ibu atau bapa yang memelihara anaknya tanpa pasangannya disebut single parent.

Namun apa yang digunakan di Malaysia, single parent jadi ibu tunggal. Sedangkan tentulah ibu itu tunggal kerana semua orang mempunyai seorang emak saja. Bapa yang memelihara anaknya tanpa pasangannya disebut pula bapa tunggal. Istilah tepat adalah ibu bapa tunggal.

Di Malaysia, ibu tunggal seringkali dirujuk kepada janda yang mempunyai dan memelihara anaknya sendiri.

Tetapi di Barat, single parent dirujuk bukan saja kepada janda yang mempunyai anak dan memeliharanya sendiri tetapi juga seorang ibu yang tidak pernah berkahwin.

Istilah ibu tunggal untuk ibu yang tidak pernah berkahwin di Malaysia jarang digunakan. Malah tidak keterlaluan untuk menyatakan ibu tanpa suami ini tidak begitu dihiraukan dalam masyarakat, terutama di kalangan orang Melayu.

Dari segi teori, sepatutnya ibu tunggal yang tidak pernah berkahwin ini tidak seharusnya wujud dalam masyarakat Islam. Ini kerana seorang menjadi ibu hanya melalui perkahwinan. Tetapi realitinya tidak begitu. Ada wanita yang dirogol atau melakukan persetubuhan haram, dan antaranya melahirkan anak.

Masyarakat sudah tentu memandang serong kepada perbuatan persetubuhan haram, atau disebut secara sopan sebagai keterlanjuran.

Tetapi kalau dalam kes rogol, ia bukan salah ibu berkenaan. Dia dipaksa, tetapi masyarakat tetap memandang serong.

Akibat suasana sedemikian maka, berlakulah pengguguran haram dan lebih serius lagi perbuatan membuang bayi. Puncanya ialah pandangan daripada masyarakat kita yang kurang mempunyai sifat kemanusiaan.

Sedangkan anak itu tidak salah walaupun ia dihasilkan melalui perbuatan salah.

Selama ini anak-anak hasil daripada persetubuhan haram disebut sebagai anak haram. Haram dan halal adalah istilah agama tetapi dalam mana-mana kitab agama, tidak pernah pun disebut anak haram atau anak halal.

Sedangkan dalam agama, kita dilarang memberi nama atau gelaran yang mendatangkan mudarat kepada seseorang manusia. Sifat penyayang dan kemanusiaan adalah sebahagian dalam Islam tetapi sayangnya masyarakat Islam di seluruh dunia mempunyai prasangka buruk tentang pelbagai perkara terhadap anggotanya hingga ia menyukarkan kehidupan orang Islam.

Untuk mengelak istilah anak haram, diciptakan istilah anak luar nikah. Tetapi prasangka dan stigma berterusan. Apa bezanya anak luar nikah dan dalam nikah? Mereka juga manusia. Yang menjadikan masalah bukan saja ibu bapa anak berkenaan tetapi juga ialah masyarakat. Masyarakat yang menetapkan demikian. Anggota masyarakat yang merana. Kita bukan hidup untuk masyarakat. Masyarakat yang diwujudkan untuk kebahagiaan individu.

Kini dicipta istilah anak tak sah taraf. Lebih buruk lagi. Seolah-olah anak-anak yang tidak dikehendaki masyarakat ini mempunyai taraf yang tidak sah. Atau adakah manusia ini banyak taraf, ada yang sah, dan ada yang tidak.

Demi kemanusiaan, iktiraflah mereka sebagai individu dan samakan taraf mereka dengan semua orang.

Ada masanya mereka juga merupakan hasil daripada naluri kasih sayang antara dua insan. Lagipun apa salahnya nafsu syahwat. Ia adalah sebahagian daripada kejadian manusia.

Kalau masyarakat boleh menerima mereka, mungkin kuranglah kejadian bapa anak-anak ini lari. Ada kalanya sikap masyarakat mendorong mereka mengambil jalan tidak bertanggungjawab.

Dalam zaman DNA sekarang ini, sains boleh membuktikan siapa bapa anak-anak itu. Sementara dari segi undang-undang, seharusnya digubal bagi memastikan bapa anak-anak berkenaan sama-sama bertanggungjawab menyara anak-anak yang kurang diterima masyarakat ini.

Hargailah semua kehidupan. - OMAR SAMADI, Batu Pahat, Johor.

Petikan Utusan Malaysia

53,309 `anak tak sah taraf' didaftar

KUALA LUMPUR 13 Nov. - Seramai 53,309 `anak tak sah taraf' telah didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam tempoh 1999 hingga 2001, kata Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata, `anak tak sah taraf' adalah anak yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau di luar tempoh 280 hari selepas pembubaran sesuatu perkahwinan.

Selain itu, katanya, terdapat 1,183 kes anak tanpa maklumat bapa dan 124 kes tanpa maklumat ibu bapa yang didaftarkan oleh JPN dalam tempoh yang sama.

``Kerajaan memandang berat masalah anak luar nikah atau anak `tak sah taraf'.

``Ini kerana anak yang tidak berdosa menghadapi masa depan yang tidak menentu akibat perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Senator Safiah Jusoh pada sidang Dewan Negara, hari ini.

Sementara itu dalam jawapan bertulis lain kepada soalan Senator See Too Mee, Shahrizat berkata, perangkaan Polis Diraja Malaysia menunjukkan peningkatan kes pencabulan kehormatan wanita.

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini sebanyak 745 kes pencabulan dilaporkan berlaku dengan Selangor mencatatkan kes tertinggi.

KENYATAAN AKHBAR WAO

14 November 2002

Pendidikan Seks Di Pelajar Sekolah Menengah untuk Mengurangkan Anak Tak Sah Taraf


Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) mengalu-alukan cadangan mengadakan pendidikan seks di sekolah-sekolah. Malahan, WAO telah lama menyokong usul ini. Pendidikan seks akan membantu menyalurkan maklumat dan mengajar muda-mudi tentang tanggung jawab dan akibat berkaitan seks. Ini akan membantu mengurangkan kehamilan yang tidak diingini dikalangan muda-mudi, yang antara lainnya mewujudkan anak-anak yang tidak sah taraf. Meski pun begitu, perlu ditekan, terdapatnya pelbagai punca wujudnya fenomena anak tidak sah taraf. Ini termasuk kelakuan tidak bertanggung jawab dan pengabaian oleh bapa, kelalaian di pihak ibubapa berkaitan dengan pendaftaran kelahiran anak atau ibubapa terasa tergugut dengan proses pendaftaran kelahiran anak. Adalah amat penting untuk kita sedari yang kanak-kanak tidak harus didiskriminasi atas dasar status kesahan mereka. Persoalan genting yang harus ditanya adalah samada hak keatas pendidikan, perlindungan dan perkembangan kanak-kanak tergugat kerana status kelahiran mereka. Jika ini merupakan realiti, maka halangan-halangan ini harus disingkirkan.

Jaclyn Kee
Pegawai Komunikasi


Related News: